Aktiviti Lain

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH CABUTAN CUKAI TANAH BERTUAH TAHUN 2023

05 Dec 2023

AYER KEROH 28 November – Sejumlah RM89.8 juta berjaya dikutip Kerajaan Negeri hasil daripada pemilik hartanah yang menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai tanah dan petak bagi 2023.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari berkata, hasil itu dikutip menerusi Pentadbiran Tanah bagi cukai tanah dan petak bagi tahun ini.

Zaidi berkata, jumlah kutipan cukai tanah dan petak itu bersamaan dengan 92 peratus bagi cukai semasa dan 34 peratus untuk tunggakan.

“Justeru, bagi menghargai pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka, Kerajaan Negeri bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM50,000 bagi cabutan bertuah.

“Cabutan ini menyediakan lima buah motosikal sebagai hadiah utama selain 110 barangan lain seperti bar emas, barangan elektrik dan baucar membeli belah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah & Menang Tahun 2023, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Datuk Noraini Tawel serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Datuk Saiful Hazwa Kipli.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa optimis dalam menyokong usaha bagi memudahkan orang awam melaksanakan tanggungjawab membayar cukai termasuk menerusi transaksi dalam talian.

“Pada Mac 2022 perkhidmatan JomPay diperkenalkan dan tahun ini 47,000 transaksi membabitkan nilai RM15.6 juta direkodkan.

“Dalam meningkatkan jumlah kutipan cukai tanah dan petak kerajaan memperkenalkan e-bil yang pada masa sama menjimatkan kos pencetakan sebanyak RM600,000 setahun.

“Bermula 2024, tiada lagi cetakan bil cukai tanah dan petak, pemilik hartanah boleh mendapatkan bil mereka menerusi portal PTG,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, semua pemilik diingatkan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi mengelakkan hartanah mereka daripada dilucut hak selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 100 Kanun Tanah Negara.

Theme Color
Reset Color
Font Resizer