Pendaftaran Hakmilik

1. Bolehkan Borang Suratcara diisi dengan menggunakan dakwat biru atau pen mata bulat?

Borang Suratcara hanya boleh dilengkapkan dengan menggunakan dakwat kekal berwarna hitam atau biru hitam selaras dengan peruntukan Jadual Kesepuluh Kanun Tanah Negara.

2. Perlukah bahagian penyaksian disempurnakan sekiranya cop mohor (common seal) diturunkan?

Ruangan penyaksian tidak perlu dilengkapkan sekiranya terdapat cop mohor (common seal) syarikat pada borang suratcara. Tetapi mana-mana instrumen yang mempunyai cop mohor (common seal) perlu disertakan dengan satu penyata dibawah Seksyen 210, Kanun Tanah Negara.

3. Bolehkah perubahan dibuat pada borang suratcara?

Perubahan boleh dibuat pada borang suratcara dengan syarat semua perubahan perlu ditandatangan ringkas.

4. Bolehkah penyaksian bagi Tanah Adat Melaka (MCL) dibuat oleh peguambela atau peguamcara?

Penyaksian bagi hakmilik Tanah Adat Melaka hanya boleh disempurnakan oleh Pentadbir Tanah Daerah sahaja.

5. Bolehkah Pejabat Tanah menerima perserahan yang tidak lengkap?

Perserahan yang tidak lengkap boleh diterima, namun pendaftaran hanya boleh disempurnakan setelah dokumen yang diperlukan/dikuiri telah diterima oleh Pejabat Tanah.

6. Siapakah yang boleh atau layak untuk membuat permohonan memotong kaveat?

Hanya pemilik atau pihak berkepentingan yang berdaftar sahaja yang boleh membuat permohonan.

7. Bagaimanakah cara permohonan pemotongan kaveat dibuat?

Permohonan pemotongan kaveat boleh dipohon kepada Pentadbir Tanah melalui Seksyen 326 Kanun Tanah Negara dengan menggunakan Borang 19H atau melalui Perintah Mahkamah berdasarkan Seksyen 327 KTN.

8. Bolehkah urusniaga dilaksanakan sekiranya cukai tanah bagi tahun semasa belum dijelaskan?

Cukai tanah bagi tahun semasa perlu dijelaskan sebelum sebarang urusniaga boleh dilaksanakan.

9. Bolehkah segala urusan di Seksyen Pendaftaran dibayar dengan menggunakan cek?

Bayaran boleh dibuat melalui cek bagi urusan yang melibatkan amaun berjumlah RM300.00 ke atas.

10. Bagaimanakan cara-cara untuk mengisi Borang 14A (Borang Pindahmilik)?

Setiap urusniaga dikehendaki menggunakan borang yang telah ditetapkan, disamping cara-cara pengisian yang tertentu. Semasa pengisian borang, peruntukan-peruntukan yang terdapat di bawah Seksyen 43 dan Jadual 10 KTN hendaklah dipatuhi. Suratcara yang telah siap diisi hendaklah ditandatangani oleh pemilik tanah atau orang berkaitan itu sendiri dan bagi kes-kes yang melibatkan syarikat dan perbadanan, suratcara hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang diberi kuasa di bawah perlembagaan atau undang-undang perbadanan atau syarikat yang berkaitan untuk berbuat demikian.

Semua suratcara yang dilaksanakan oleh orang perseorangan hendaklah diakusaksikan (attested) oleh pegawai-pegawai yang tercatit di dalam Jadual Ke 5, KTN dan bagi kes syarikat dan perbadanan, sebagaimana yang diperuntukan di dalam undang-undang masing-masing.

Semua suratcara yang telah disempurnakan hendaklah disetemkan secukupnya mengikut Akta Setem 1949 dan diserahkan ke Pejabat Tanah yang berkenaan untuk didaftarkan.  Selain daripada itu, dokumen-dokumen iringan perlu disertakan dan bayaran-bayaran 'fees' yang ditetapkan perlu dijelaskan.

11. Apakah yang dimaksudkan dan apakah borang yang digunakan untuk memohon kemasukan kaveat persendirian?

Tujuan kaveat persendirian adalah untuk melarang sebarang urusniaga yang berkaitan dengan tanah oleh mana-mana orang/badan yang dinyatakan di dalam Seksyen 323, Kanun Tanah Negara.  Kaveat persendirian boleh dimasukkan menggunakan Borang 19B.

Permohonan Kaveat Persendirian hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang 19B dan diisi dengan lengkap dan diakusaksi dan menyatakan ciri-ciri tuntutan samada kaveat yang hendak dimasukkan itu mengikut tanah atau kepentingan Seksyen 323 (2). Bayaran sebagaimana yang ditetapkan dan surat Akuan Sumpah hendaklah disertakan bersama.

12. Apakah yang perlu dilakukan apabila hakmilik hilang?

Pemilik boleh memohon hakmilik gantian dan mengemukakan dokumen yang diperlukan dalam senarai semak seperti:

  • Laporan polis (jika ada);
  • Surat Akuan Sumpah berkenaan kehilangan hak milik (dibuat oleh pemilik atau mana-mana orang atau badan yang menuntut melalui pemilik). Akuan Berkanun hendaklah mengandungi butiran hakmilik yang hilang seperti nombor hakmilik, nombor lot, nama mukim/bandar/tanah, dan daerah.
  • Pemohon hendaklah mengemukakan dokumen yang diperlukan berdasarkan senarai semak yang disediakan berserta bayaran RM240.00 bagi setiap hakmilik.

13. Segala urusan pertanyaan hakmilik tanah

Sila hubungi Seksyen Pendaftaran Pejabat Tanah dan Galian Melaka di talian 06-3333333 Samb. 5043.

Theme Color
Reset Color
Font Resizer