UNIT PEMBANGUNAN 
 


 

1.  OBJEKTIF

Unit Pengurusan Tanah dikenali sebagai Sekretariat Latihan dan Perancangan sebelum ini.Namanya telah ditukarjan sesuai dengan fungsi dan tanggungjawabnya.Perubahan ini telah berkuatkuasa dari tempoh 28 mac 1997 apabila Waran Pejawatan No. 30/90 diterima oleh Jabatan.

Perubahan nama Unit ini adalah selaras dengan Pekeliling KPTG Bil. 1/98 bertarikh 24 Mac 1998 yang menyarakan agar Pihak Berkuasa Negeri mewujudkan satu Unit Pembangunan Tanah di Peringkat Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri dengan fungsi di antaranya sebagaimana berikut:

i) Menerima dan memproses permohonan membangunkan tanah bagi tujuan tukar syarat dan pecah sempadan;

ii) Bertindak sebagai urusetia kepada one-stop-processing-centre.


 

          TOP

2.  OBJEKTIF UNIT

 

i) Memastikan semua permohonan pembangunan tanah adalah lengkap dan teratur supaya keputusan-keputusan yang dibuat berlandaskan peruntukan undang-undang dan selaras dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

ii) Merancang dasar berkaitan pembangunan tanah yang lebih berkesan dan dinamik bersesuaian dengan matlamat Kerajaan Negeri.
 
 

 

          TOP

 3. AKTIVITI UNIT

 

Terbahagi kepada dua aktiviti utama iaitu:-

i) Aktiviti-aktiviti urusetia yang memproses permohonan-permohonan berikut:-
 

Bil
Bentuk Pembangunan
Seksyen di bawah KTN
1.
Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah
204A
2.
Permohonan Serentak Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Tanah
124A
3.
Permohonan Ubah Syarat Tanah
124 (1) (a) dan (c)
4.
Permohonan Pecah Sempadan Tanah
135
5.
Permohonan Pecah Bahagian Tanah
140-144
6.
Permohonan Penyatuan Tanah
146 (1)

 

ii) Aktiviti-aktiviti lain adalah seperti berikut:-

a) Menerima, menyemak dan menyediakan kertas-kertas MMKN berkaitan pentadbiran dan pembangunan tanah.

b) Memproses kelulusan permohonan pindah milik, menggadai dan memajak.


 

3.1  Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah (SBMS) Sek. 204A KTN
 

Permohonan ini dikemukakan untuk tujuan projek perumahan, perniagaan, industri dan untuk lot-lot pertanian. Melalui proses ini PBN berkuasa menukar jenis penggunaan tanah, syarat nyata tanah, sekatan kepentingan dan keluasan tanah. Bahagian-bahagian tertentu tanah perlu diserahkan untuk kemudahan awam. Setelah kelulusan diperolehi pemohon dikehendaki menjelaskan bayaran premium, kadar sumbangan saliran dan hasil tahun pertama serta bayaran proses yang lain.

SBMS bermaksud satu lot atau lebih yang berdampingan yang dimiliki oleh tuanpunya yang sama diserah balik kepada PBN dengan syarat bahagian-bahagian tertentu diberimilik semula kepadanya dalam unit-unit yang berasingan.

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas, kelulusan dasar daripada Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah ( JKBB ), Jawatankuasa Serenti Perumahan dan Industri dan kelulusan SBMS daripada Y.A.B Ketua Menteri.

Dasar-dasar yang dipakai untuk permohonan ini ialah berkaitan penentuan peratus kuota Orang Melayu bagi lot rumah dan perniagaan; dasar 30% Rumah Kos Rendah bagi keluasan tanah melebihi 8 ekar; penentuan harga rumah kos rendah; kadar diskaun dan kadar sumbangan yang perlu dibayar oleh pemaju kepada Kerajaan Negeri bagi projek-projek yang dikecualikan membina rumah kos rendah.

Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa mengemukakan permohonan di Pejabat Tanah Daerah di mana tanah itu terletak adalah sebagaimana berikut:

i) Empat salinan Borang 12D yang telah dilengkapkan dan ditandatangani

ii) Carian Rasmi – salinan asal dan satu salinan fotostat bagi setiap lot tanah

iii) Bayaran RM100.00 setiap lot tanah

iv) 20 salinan Pelan Tatatur

v) Surat-surat persetujuan daripada pihak-pihak yang berkepentingan ke atas tanah itu

vi) Pendaftaran Syarikat, Borang 24 dan 49

vii) Power Of Attorney – jika berkaitan

viii) Laporan Cadangan Pemajuan yang disediakan oleh Juru Rancang Bandar bagi tanah yang melebihi 5 ekar 4 salinan.

ix) 2 Salinan resit cukai tanah tahun semasa

x) Laporan Kesan Alam Sekitar ( EIA ) dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan bagi tanah yang melebihi 125 ekar ( 50 ha. )

xi) Surat perlantikan Juru Ukur / Juru Rancang.

xii) Harga jualan bagi unit-unit rumah kediaman , bangunan perniagaan dan perusahaan .

xiii) Bagi lot banglo, nyatakan untuk lot kosong atau berserta dengan rumah.

xiv) Keluasan lantai bagi bangunan-bangunan kediaman, perniagaan dan perusahaan.

xv) Harga tanah sekaki persegi serta jumlah semasa dibeli dan harga sekarang.

Dokumen-dokumen yang diterima akan diproses di peringkat Pejabat Tanah Daerah berkenaan. Salinan-salinan pelan tatatur yang dikemukakan akan dihantar kepada Jabatan-Jabatan Teknikal untuk mendapatkan ulasan dan ke PTG untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal. Selepas Mesyuarat tersebut, Pejabat Tanah berkenaan akan menyediakan deraf rencana permohonan tersebut untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka. Deraf rencana berserta fail akan dikemukakan ke Pejabat PTG. Pejabat PTG yang menjadi Urusetia kepada mesyuarat tersebut akan menyediakan kertas yang sempurna untuk dibentangkan dalam mesyuarat tersebut. Keputusan dasar mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kepada pemohon. Pemohon, melalui Jurukur / Jururancang Bandar akan menyediakan pelan tatatur terkini berdasarkan ulasan-ulasan yang diberi oleh Jabatan-Jabatan Teknikal dan seterusnya mengemukakan pelan-pelan pindaan tersebut kepada Jabatan-Jabatan Teknikal dan Pejabat PTG. Urusetia setelah menerima pelan tersebut berserta dengan pelan perparitan akan membawa permohonan tersebut ke Mesyuarat Jawatankuasa Serenti Perumahan dan Industri. Pemaju bersama dengan Juru Ukur / Jururancang Bandar dan Arkitek diminta hadir untuk memberi penerangan berkaitan dengan projek yang akan dimajukan berdasarkan pelan tatatur yang dibentangkan. Pelan-pelan tatatur pindaan berdasarkan ulasan Jabatan Teknikal dihantar oleh pemaju ke MPMBB bagi projek-projek dalam Daerah Melaka Tengah dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta Majlis Daerah Jasin/ Majlis Daerah Alor Gajah bagi projek-projek di Daerah Jasin dan Alor Gajah. Pelan-pelan yang telah disahkan oleh MPMBB / Jabatan Perancang Bandar dan Desa / Majlis Daerah Jasin / Majlis Daerah Alor Gajah ( mana yang berkenaan ) akan dikemukakan ke Pejabat Tanah berkenaan yang seterusnya mengemukakannya kepada Urusetia. Urusetia akan menyediakan rencana untuk kelulusan Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah oleh Y.A.B Ketua Menteri. Setelah menerima kelulusan daripada Y.A.B Ketua Menteri, Urusetia akan memohon Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menilai tanah tersebut. Surat tawaran yang mengandungi syarat-syarat kelulusan dan jumlah premium yang perlu dibayar oleh pemohon/pemilik tanah dikeluarkan setelah menerima laporan penilaian tanah.

Masalah jalan keluar masuk perlu diselesaikan oleh pemohon sebelum permohonan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka.

Syarat-Syarat Kelulusan Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah adalah sebagaimana berikut:
 

i) Bahawa bahagian-bahagian dan unit-unit tanah yang hendak diberimilik semula itu menepati bentuk, kawasan ukuran, lokasi dan penggunaan yang dicadangkan seperti dalam pelan pra-hitung dan selaras dengan pelan tatatur yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

ii) Bahawa tiada butiran hasil tanah yang belum dibayar.

iii) Bahawa tanah itu tidak di bawah tahanan di mana-mana mahkamah.

iv) Tidak ada bebanan berdaftar ke atas tanah itu.


 

3.2  Permohonan Serentak Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Tanah ( Sek. 124A KTN )
 

Permohonan ini dikemukakan dengan tujuan untuk projek perumahan, perniagaan, perindustrian dan pertanian. Permohonan ini melibatkan penyerahan tanah kepada PBN untuk tujuan awam, perubahan kepada jenis penggunaan tanah, syarat nyata dan hasil tanah. Setelah kelulusan diperolehi, pemohon perlu membayar premium tambahan, sumbangan saliran dan bayaran proses lain yang berkaitan.

Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Serentak bermaksud membuat permohonan pecah sempadan bersekali dengan permohonan menukar syarat. Permohonan ini hendaklah dianggap seolah-olah ianya adalah permohonan di bawah Seksyen 135. Dalam hal ini seksyen-seksyen 136 – syarat-syarat untuk kelulusan pecah sempadan, 137-permohonan untuk kelulusan, 138 – kuasa Pentadbir Tanah dan Pengarah Tanah Negeri berkaitan dengan permohonan dan 139 – pengeluaran hakmilik kepada bahagian pecah sempadan hendaklah dipakai sekiranya tidak bercanggah dengan peruntukan seksyen 124A.

Contoh: sekiranya tanah berkenaan itu adalah tanah jenis pertanian dan bahagian-bahagian yang dipecah sempadan itu adalah untuk tujuan lain ( selain daripada pertanian ) syarat di bawah seksyen 136 (1)(f) mengenai keluasan tidak kurang 2/5 hektar tidak akan terpakai.

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas, kelulusan dasar daripada JKBB dan kelulusan daripada Pengarah Tanah dan Galian.

Dasar-dasar yang dipakai adalah sama seperti permohonan SBMS.

Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa mengemukakan permohonan di Pejabat Tanah Daerah di mana tanah itu terletak adalah sebagaimana berikut:-
 

i)  Empat salinan Borang 7D yang telah dilengkapkan.

ii) Bayaran RM 100.00 satu lot

iii) 2 salinan resit cukai tanah tahun semasa

iv) Dokumen-dokumen lain sebagaimana permohonan SBMS.


3.3  Permohonan Ubah Syarat Tanah ( Sek. 124 KTN )
 

Permohonan sebegini dikemukakan dengan tujuan untuk:-

i)   mengubah jenis kegunaan tanah

ii)  mengenakan jenis kegunaan tanah

iii)  membatalkan syarat nyata

iv)  meminda syarat nyata

v)   mengenakan syarat nyata baru

vi)  membatalkan sekatan kepentingan

vii)  meminda sekatan kepentingan

viii) mengenakan sekatan kepentingan

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas, kelulusan dasar daripada Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka dan kelulusan daripada Pengarah Tanah dan Galian, Melaka.

Bayaran yang dikenakan semasa permohonan ialah RM 50.00.

Borang permohonan boleh didapati dari Pejabat-Pejabat Tanah di Negeri Melaka.


3.4  Permohonan Pecah Sempadan Tanah ( Sek. 135 KTN )
 

Permohonan ini bermaksud bahawa tanah yang dipegang di bawah hakmilik tetap atau hakmilik sementara sambungan dari hakmilik tetap dipecah sempadankan kepada dua atau lebih bahagian supaya setiap satunya dipegang di bawah hakmilik yang berasingan oleh tuan punya yang sama atau tuanpunya bersama yang sama.

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas dan kelulusan dasar daripada Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka.

Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa permohonan adalah sebagaimana berikut:-

i) 4 Salinan Borang 9A yang telah dilengkapkan

ii) Bayaran RM 50.00 satu lot bagi tanah desa dan RM 100.00 satu lot bagi tanah pekan dan bandar.

iii) 20 salinan Pelan tatatur yang menunjukkan sempadan-sempadan tanah yang hendak dipecahkan.

iv) Carian rasmi asal dan fotostat.

v) Surat perlantikan Juru ukur.

vi) Surat kebenaran daripada pihak-pihak berkepentingan ke atas tanah itu.

vii) 2 salinan resit cukai tanah tahun semasa

Juru Ukur berlesen yang dilantik oleh pemilik tanah akan menguruskan permohonan tersebut. Selepas kelulusan JKBB, Juru Ukur akan meminda pelan ( jika perlu ) berdasarkan ulasan / komen daripada Jabatan Teknikal. Pelan/ pelan pindaan ( jika berkaitan) akan dihantar ke MPMBB bagi tanah-tanah dalam Daerah Melaka Tengah dan ke Jabatan Perancang Bandar dan Desa Majlis Daerah Jasin / Majlis Daerah Alor Gajah bagi tanah-tanah yang terletak di Daerah Jasin dan Alor Gajah untuk tujuan perakuan. Pelan-pelan yang telah diperakukan oleh pihak-pihak berkaitan akan dikembalikan ke Pejabat-Pejabat Tanah dalam hal tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Tanah dan oleh Pengarah Tanah dan Galian Melaka dalam hal tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Tanah untuk tujuan pengeluaran hakmilik. Hakmilik akan dikeluarkan setelah semua bayaran berkaitan pengukuran tanah dijelaskan oleh pemilik kepada Juru Ukur yang dilantik.


Syarat-Syarat Pecah Sempadan

    Pecah Sempadan Tanah hanya boleh diluluskan jika memenuhi syarat-syarat berikut:-

 

i) Tidak bertentangan dengan sekatan kepentingan di mana tanah itu tertakluk;

ii) Tidak bertentangan dengan undang-undang lain yang pada waktu itu berkuatkuasa;

iii) Mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa perancang;

iv) Mendapat persetujuan daripada badan/pihak berkuasa tertentu;

v) Tiada hasil terhutang;

vi) Persetujuan daripada orang / badan yang mempunyai kepentingan tertentu ke atas tanah itu;

vii) Memenuhi keperluan keluasan minima bahagian yang hendak dipecah sempadan. Dalam hal tanah pertanian tidak kurang dari dua perlima hektar ( satu ekar ).

viii) Bentuk bahagian yang hendak dipecahkan itu hendaklah bersesuaian dengan tujuan ianya dipecahkan;

ix) Memberi keperluan jalan keluar masuk untuk bahagian yang dipecah sempadan itu

3.5  Permohonan Pecah Bahagian Tanah ( Sek. 140 KTN )
 

Permohonan ini bermaksud tanah yang dipegang di bawah hakmilik tetap atau di bawah hakmilik sementara sambungan dari hakmilik tetap yang dipegang oleh dua orang atau lebih sebagai tuanpunya bersama dipecah bahagikan supaya terletakhak pada tiap-tiap seorang daripada mereka di bawah satu hakmilik yang berasingan. Walau bagaimanapun mereka yang masih ingin meneruskan pemilikan bersama boleh mengekalkan haknya bersamaan dengan bahagiannya.
 

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas dan kelulusan dasar daripada Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka.


Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan adalah sebagaimana berikut:
 

i) 4 salinan Borang 9B yang lengkap

ii) Bayaran proses RM 30.00

iii) 2 salinan carian rasmi – asal dan salinan fotostat

iv) 2 salinan resit cukai tanah tahun semasa

v) 20 salinan pelan tatatur

Juru Ukur Berlesen yang dilantik oleh pemilik tanah akan menguruskan permohonan tersebut. Selepas kelulusan daripada Jawatankuasa Belah Bahagi dan Pecah Sempadan Tanah Negeri Melaka, Juru Ukur akan meminda pelan tatatur ( Jika perlu ) mengikut ulasan / komen daripada Jabatan Teknikal. Pelan-pelan yang telah dipinda akan dihantar kepada MPMBB jika tanah terletak dalam Daerah Melaka Tengah dan ke Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta Majlis Daerah Jasin / Majlis Daerah Alor Gajah jika tanah terletak dalam Daerah Jasin dan Alor Gajah untuk tujuan perakuan. Pelan-pelan yang telah diperakukan akan dihantar ke Pejabat-Pejabat Tanah berkaitan untuk tujuan penyediaan hakmilik. Pejabat Tanah akan memproses hakmilik setelah bayaran ukur dan bayaran-bayaran lain yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dijelaskan oleh pemilik tanah.

          TOP


Syarat-syarat Pecah Bahagian

Pecah bahagian tanah hanya boleh diluluskan jika memenuhi syarat-syarat berikut:-
 

i) Persetujuan tuanpunya bersama tanah untuk dipecah bahagikan.
( Walau bagaimanapun tuanpunya bersama yang memegang majoriti syer boleh membuat permohonan pecah bahagian tanah tanpa kebenaran tuanpunya bersama yang lain )

ii) Memenuhi kehendak keluasan minima yang hendak diletakhak kepada tiap-tiap tuanpunya bersama.

iii) Syarat-syarat lain yang sama seperti pecah sempadan.
 

 

3.6  Permohonan Penyatuan Tanah ( Sek. 146 KTN )
 

Permohonan ini bermaksud dua lot tanah atau lebih yang dipegang oleh seorang tuanpunya di bawah hakmilik tetap atau hakmilik sementara sambungan dari hakmilik tetap dan lot-lot tersebut berdampingan di antara satu dengan yang lain, dan dipegang di bawah hakmilik yang berasingan disatukan, menjadi satu lot untuk dipegang di bawah satu hakmilik sahaja dengan syarat ianya hendaklah mempunyai mukim, bandar dan pekan yang sama.

Permohonan ini melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Khas dan kelulusan dasar daripada Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka.

Permohonan hendaklah dihantar kepada Pentadbir Tanah di mana tanah itu terletak dengan menggunakan Borang 9C dan disertakan perkara-perkara berikut:

 

i)  Bayaran proses RM 50.00

ii) 20 salinan pelan tatatur yang menunjukkan lot-lot yang hendak disatukan

iii) Keizinan bertulis daripada pihak-pihak yang berkepentingan

iv) 2 salinan resit cukai tanah tahun semasa

v) 2 salinan carian rasmi – asal dan salinan fotostat

vi) Surat lantikan Juru Ukur.


Syarat-Syarat Penyatuan Tanah

i) Syarat-syarat yang sama seperti permohonan memecah sempadan tanah terpakai.

ii) Jika terdapat perkara-perkara berikut ke atas tanah yang hendak disatukan, kebenaran / keizinan PBN hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum penyatuan diluluskan:

 

a) jika keluasan semua lot yang akan disatukan itu dipegang di bawah hakmilik Pejabat Tanah akan melebihi 4 hektar apabila disatukan.

b) jika lot-lot yang hendak disatukan itu adalah dipegang sebahagiannya di bawah hakmilik Pejabat Tanah dan sebahagian lagi di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar.

c) jika terdapat ketidaksamaan di antara mana-mana lot yang hendak disatukan dari segi tempoh pegangan, kadar cukai, jenis kegunaan tanah, syarat nyata dan sekatan kepentingan.

          TOP

4.  PERINGKAT-PERINGKAT KELULUSAN PERMOHONAN PEMBANGUNAN TANAH

 

4.1 Jawatankuasa Teknikal Khas

Semua permohonan pembangunan tanah, kecuali permohonan daripada Agensi-Agensi Kerajaan, akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas. Keahlian dan fungsi Jawatankuasa adalah sebagaimana berikut:
 
 

Pengerusi :    Pengarah Tanah dan Galian, Melaka

Ahli-Ahli :      Pengarah Perancang Bandar dan Desa

Pengarah Kerjaraya

Pengarah Alam Sekitar

Pengarah Pertanian Negeri

Yang Dipertua MPMBB

Yang Dipertua Majlis-Majlis Daerah

Pengarah Pengairan dan Saliran

Pengarah Perkhidmatan Pembentungan

Jabatan-Jabatan Teknikal lain yang berkaitan

Fungsi Jawatankuasa

i) Mendapatkan ulasan jabatan teknikal bagi satu-satu permohonan.

ii) Memastikan sesuatu permohonan itu telah diproses mengikut tempoh yang ditetapkan.

iii) Memastikan sesuatu permohonan itu akan dibawa ke Mesyuarat JKBB pada tarikh yang ditetapkan.

4.2 Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka

Permohonan yang telah dibawa ke Mesyuarat Teknikal akan dibawa ke Mesyuarat JKBB untuk mendapatkan kelulusan dasar Ini adalah peringkat ke dua dalam mendapatkan kelulusan pembangunan tanah . Keahlian dan fungsi jawatankuasa adalah sebagaimana berikut:-
 
 

Pengerusi : Y.A.B Ketua Menteri Melaka

Ahli-Ahli :    Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri

                  Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri

Setiausaha : Pengarah Tanah dan Galian Melaka.
 
 

Turut Hadir :

Pentadbir-Pentadbir Tanah

Pengarah Perancang Bandar dan Desa

YDP MPMBB

          TOP


Fungsi Jawatankuasa

i) Jawatankuasa ini dibenarkan menjemput sesiapa orang luar atau Pegawai-Pegawai Kerajaan untuk menghadiri mesyuarat untuk memberi sebarang nasihat yang diperlukan oleh Jawatankuasa.

ii) Jawatankuasa ini merupakan badan yang bertanggungjawab menimbangkan semua permohonan untuk membangunkan tanah.

iii) Menentukan peratusan kuota Orang Melayu yang perlu dikenakan ke atas sesuatu projek perumahan dan menimbangkan rayuan berkaitan dengannya.

iv) Menimbangkan rayuan-rayuan berkaitan pelepasan kuota Orang Melayu, menaikkan harga rumah serta syarat-syarat kelulusan yang lain.
 
 

4.3 Jawatankuasa Pusat Ekspres Perumahan

Permohonan Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah dan permohonan serentak pecah sempadan dan ubah syarat tanah bagi projek-projek perumahan dan industri akan diproses sehingga peringkat ini. Keahlian dan fungsi jawatankuasa adalah sebagaimana berikut:
 

Pengerusi :                    Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri

Setiausaha :            Pengarah Tanah dan Galian Melaka
  

Ahli-Ahli :                Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah

Pengarah Perancang Bandar dan Desa

Pengarah Kesihatan Negeri

Pengarah Kerjaraya Negeri

Pengarah Alam Sekitar

Pengarah Pengairan dan saliran

Pengurus Besar, PAM

Pengurus Daerah Kanan TNB

Pengurus Besar, Telekom

Pengarah Perkhidmatan Pembentungan Negeri

Pengarah Pertanian Negeri

Pengarah Bomba Negeri

YDP MPMBB

YDP Majlis-Majlis Daerah

Fungsi Jawatankuasa

i) Menyelaraskan ulasan jabatan teknikal berhubung dengan penyediaan pelan tatatur.

ii) Menyelesaikan segala masalah teknikal berhubung dengan penyediaan pelan tatatur bagi setiap permohonan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Serenti.

iii) Menimbangkan rayuan daripada pemohon.

iv) Menyelia proses permohonan dari masa ke semasa.
 
 
 
 

 

          TOP