+A A A-    
 
 

Sejarah dan latar belakang undang-undang tanah

Pada hari ini undang-undang tanah di Malaysia pada umumnya berasaskan Sistem Torren yang diperkenalkan oleh penjajah British. Undang-undang ini dilaksanakan melalui Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). KTN berkuatkuasa di seluruh negeri kecuali di Sabah dan Sarawak. Sebelum penjajahan British, negeri-negeri Melayu sudah memiliki sistem perundangan yang tersendiri berasaskan undang-undang adat dan Islam.

Pemakaian undang-undang adat dan syariah Islam

Sebelum kedatangan kolonial Portugis, Belanda dan Britsih, kebanyakan tempat di Melaka mengamalkan undang-undang Adat Temenggung dan sebahagian tempat di Melaka mengamalkan Adat Perpatih. Apabila Tanah Melayu termasuk Melaka menerima pengaruh Islam pada abad ke 15, Undang-undang Islam berkaitan dengan tanah mula diterima pakai di negeri-negeri Melayu. Kedatangan Islam ini menjadikan undang-undang tanah adat yang diamalkan di Melaka disesuaikan dengan hukum Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam di dalam undang-undang tanah terserlah melalui kenyataan Maxwell HB di dalam kes Sharip lwn Mitchell (1870) Leic.466:

"Sudah diketahui umum iaitu mengikut undang-undang Melayu lama atau undang-undang adat Melaka bahawa raja memiliki semua tanah di dalam negeri; setiap orang berhak mengerjakan dan menduduki tanah hutan dan tanah mati tertakluk kepada syarat menyerahkan satu persepuluh daripada tanah itu kepada raja"

Konsep yang dinyatakan di atas bertepatan dengan prinsip undang-undang tanah Islam seperti yang berkaitan dengan hukum pemilikan tidak mutlak, hukum menghidupkan tanah yang mati (ihya’ al-mawat), hukum satu persepuluh cukai tanah ('usyur). Di samping itu ciri-ciri lain undang-undang tanah adat seperti kuasa raja untuk mengambil kembali tanah yang tidak diusahakan, konsep harta sepencarian dan jualbeli juga menepati ajaran Islam. Tegasnya, sebelum zaman penjajahan Barat, negeri-negeri di tanah Melayu telah mengamalkan undang-undang tanah adat yang berasaskan syariat Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam ini berakhir apabila penjajah British memperkenalkan undang-undang yang diimport dari luar.

Pemakaian undang-undang Inggeris di Negeri Melaka

Pelaksanaan undang-undang common law Inggeris dan ekuiti di Melaka bermula melalui Piagam Keadilan yang pertama dan undang-undang Inggeris bermula tahun 1826 melalui Piagam Keadilan yang kedua. Piagam-piagam Keadilan ini telah menyebabkan undang-undang tanah adat di Melaka dimansuhkan dengan pelaksanaan sistem suratikatan Inggeris (English Deed System) pada tahun 1861. Sistem suratikatan ini terus diterima pakai sehingga ia dimansuhkan melalui Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 dan digantikan dengan Sistem Torren melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Undang-undang berkenaan tanah adat di Melaka

Siri enakmen diperbuat bermula tahun 1824 untuk mengikhtiraf beberapa aspek pemegangan tanah adat. Enakmen terakhir yang telah diperbuat ialah Malacca Lands Customary Rights No. IX of 1886 (Ordinan 1886) yang telah menyediakan peruntukan untuk tanah adat selain tanah adat Naning. Ordinan 1886 telah menggantikan konsep cukai 1/10 daripada hasil pertanian kepada nilai tetap dan diperuntukkan bahawa semua mutasi dalam tanah adat didaftar senarai oleh Pemungut Hasil dalam daftar mukim dalam sesuatu daerah di mana tanah itu terletak. Ordinan 1886 kekal berkuatkuasa sehinggalah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 [Akta 518] pada 1.1.1966. Kini, perihal terperinci tanah adat terkandung dalam Bahagian VIII, Akta 518 yang hanya terpakai di Melaka sahaja. Manakala tanah adat Naning terus diuruskan mengikut Adat Pepatih dan Akta 518 tidak menggangu pentadbiran tanah adat Naning tersebut.
Apakah itu tanah adat Melaka

Tanah adat yang lebih dikenali sebagai tanah adat Melaka merujuk subseksyen 94 (1) Akta 518 bermaksud tanah yang sebelum 1.1.1966 adalah tanah adat yang dalam pengertian Ordinan tersebut dan termasuk tanah yang telah diendorskan sebagai tanah adat dibawah subsekyen 109A(2) dan tanah yang diberimilik semula atau dilupuskan di bawah subseksyen 109B(3) Akta 518.

Pemegang tanah adat

Merujuk subseksyen 94 (1) Akta 518, pemegang tanah adat ialah seorang yang telah didaftar sebagai tuan punya Tanah Adat Melaka sebelum 1.1.1966 di bawah Ordinan tersebut.

Orang bukan melayu yang termasuk sebagai orang yang diikhtiraf (certificated person) di bawah seksyen 104 serta berdaftar sebagai pemilik mana-mana tanah adat di bawah seksyen 105 Akta 518 tidak dianggap berhak sebagai tuan punya tanah adat selain daripada hak yang diperuntukkan kepadanya di bawah perenggan 99(c) atau pengiktirafan yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 104 Akta 518 bagi tanah yang disebut dalam pengiktirafan sahaja. Hakmilik tanah yang diperolehi orang yang diiktiraf ini akan dicatiterakan sebagai 'Certificated Land' dan bukannya 'Customary Land'.

Batasan urusniaga tanah adat

Secara umumnya, berdasarkan seksyen 108 Akta 518, tanah adat hanya boleh dipindahmilik, digadai, dipajak, atau diturun milik kepada orang Melayu sahaja. Sewaan atau lien atau kaveat amanah, surat tadbir kuasa atau surat kuasa wakil atau geran Probet tidak boleh diwujudkan atas kepentingan orang bukan Melayu. Walaubagaimanapun, subseksyen 108(2) Akta 518 membenarkan tanah adat dipindahmilik atau digadaikan kepada orang atau badan yang dinyatakan dalam Jadual Keenam atau Jadual Ketujuh Akta 518 tersebut.

Tafsiran Melayu

Melayu bermaksud seorang yang beragama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu serta-

(a) telah lahir di Persekutuan sebelum hari Merdeka atau lahir dari ibu bapa yang salah seorang darinya lahir di Persekutuan, atau pada hari tersebut bermastautin di Persekutuan; atau
(b) lahir dari orang yang tersebut.

Syarikat Tanah Adat Melaka ialah syarikat yang diperbadankan di bawah mana-mana undang bertulis yang berkuatkuasa pada masa ini dan berhubung dengan syarikat itu-

(a) semua ahli syarikat adalah Melayu;
(b) Artikel Persatuan melarang pindahmilik sahamnya kepada mana-mana orang bukan melayu; dan
(c) satu daripada objek syarikat ialah berurusan dengan tanah adat di Melaka;

dan Syarikat Tanah Adat Melaka yang memenuhi kesemua kriteria di atas hendaklah dianggap sebagai Melayu bagi tujuan Bahagian VIII, Akta 518.


 

 
Pelawat Ke:
96198
Pelawat ke Halaman ini:
8450
     
Tarikh Akhir Kemaskini: 
01 Oct 2014 :: 03:43 PM